Isnin, 25 Mei 2015

MUSIBAH


Alhamdulillah, hati rindu untuk menggerakkan jari-jari menekan papan kekunci. Harap masih ada pembaca yang ingin terus membaca kalimah-kalimah ini. In shaa Allah, mari kita telusuri mauduk MUSIBAH.

Apa itu Musibah?

Musibah adalah segala sesuatu yang tidak disukai manusia. Contohnya kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan, ketakutan, kesedihan, bencana dan lain-lain lagi.

Kita tidak sukakan kematian, tapi siapa yang boleh mengelak daripada mati? Kita benci kesakitan, tapi itulah lumrah kehidupan. Sesungguhnya Allah pasti menguji kita dengan sesuatu yang kita tidak sukai.

Tapi kenapa??????

Hal ini kerana Allah ingin menilai hati dan amalan kita.



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu." (Riwayat Muslim no. 6708)




Bila diuji barulah kita ketahui tahap kesabaran kita, barulah kita ketahui tahap keberanian kita dan tahap keimanan kita kepada Allah.



Musibah menimpa semua manusia - tidak kira sama ada yang baik atau yang jahat. Yang berbeza hanyalah bagaimana manusia menghadapi musibah itu.

Benarlah seperti yang selalu diungkapkan "...it's not what happens to you, but it's what you do about it."

Dunia Islam kini acap kali ditimpa musibah. Semua itu hakikatnya untuk mengingatkan umat Islam agar kembali kepada Allah - beriman dan menegakkan hukum Allah dalam seluruh kehidupan kita. Malangnya masih ada umat Islam yang keras kepala. Jadi, tidaklah hairan ALLAH terus 'membersihkan' bumi-bumi Islam.

Terdapat 3 jenis Musibah
1. KAFARAH
   Musibah yang berlaku ke atas orang yang baik tetapi ketika itu dia terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu.
    
    Ringkasnya, kafarah ialah ujian untuk "orang baik yang terbuat jahat". Dengan ujian itu, 'orang baik' tersebut akan mendapat peringatan, keinsafan dan segera bertaubat kepada Sang Pencipta

2. BALA
    Satu bentuk ujian yang dikenakan ke atas orang jahat yang melakukan kejahatan.
    
    Ringkasnya, bala itu ialah bentuk ujian ke atas "orang jahat yang melakukan kejahatan"
  • Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir
  • Namrud yang  dibunuh nyamuk
  • Firaun yang ditenggelamkan di Laut Merah
  • Qarun yang ditelan bumi

3. IBTILA'
    Musibah yang dikenakan ke atas orang baik ketika dia melakukan kebaikan.

    Ringkasnya, ibtila' ini ialah ujian ke atas "orang baik yang berbuat baik". Ianya sebagai tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat.


Akhir coretan, bersabarlah bagi setiap ujian yang datang. Sapalah ujian itu dengan senyuman meskipun ia sukar dan pahit.

Reframing:  Kita inginkan buah oren yang manis, tetapi jika kita mendapat buah oren yang masam, maka buatlah air oren dengan menambahkan sedikit gula.

Sebahagian ulama salaf berkata: "Andaikan tidak ada musibah di dunia, tentu kita datang pada hari kiamat tanpa membawa pahala." 



-Ruj: Ust. Pahrol Mohd Juoi_ Sebenarnya Soal Hati-
            

Selasa, 5 Mei 2015

Wanita Hiasan Dunia

Ikutilah kisah ini.
Di Youtube : Wanita Hiasan Dunia-Alkauthar
https://www.youtube.com/watch?v=QufBLewH3-g
Madah daripada Bidadari disampaikan melalui sanubari Alkauthar1083.



Wahai kakakku...
Kenapakah lemah sungguh kaum hawa itu?
Asyik berteman tangis & sendu sahaja.

Wahai adikku,
Bukan wanita itu lemah dek kerana tangis & sendunya
Tetapi di situlah wahai adikku
Kekuatan bisa meleburkan ego seorang lelaki
Menjadi izzah yang paling gah
Bahkan lebih gah dari egonya seorang lelaki
Kerana sendu rayunya
Musa A.S terselamat dari kekejaman Firaun.

Duhai adikku,
Lembut wanita itu bukan lemah
Tetapi senjata.

Namun wahai kakakku,
Wanita itu fitnah dunia !!!

Pernahkah adikku dengar
Pesanan Ilahi pada hamba-Nya?
Wahai lelaki-lelaki yang beriman
Tundukkanlah pandanganmu dan tutupkanlah auratmu.

Cuba adik nilai
Pada siapa terlebih dahulu Allah dahulukan 
Pesanan-Nya?
Ya, pada hamba yang bergelar Ar-Rijal
Kerana andai si lelaki menjaga pandangannya
Maka tidak mungkin terlihat akan wanita
Yang menjadi fitnah pada dirinya.

Dan tidaklah Allah lupakan pesanan 
Buat wanita
Agar memelihara auratnya 
Kerana disitulah kehormatannya.

Bukan fitnah semata-mata 
Jikalau Ar-Rijal & An-Nisa sama-sama mematuhi
Pesanan Ilahi itu
Sesungguhnya wanita yang beriman yang solehah itu
Lebih baik dari ribuan lelaki yang soleh.