Alhamdulillah, hati rindu untuk menggerakkan jari-jari menekan papan kekunci. Harap masih ada
pembaca yang ingin terus membaca kalimah-kalimah ini. In shaa Allah, mari kita
telusuri mauduk MUSIBAH.
Apa itu Musibah?
Musibah adalah segala sesuatu yang tidak disukai manusia. Contohnya
kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan, ketakutan, kesedihan, bencana dan
lain-lain lagi.
Kita tidak sukakan kematian, tapi siapa
yang boleh mengelak daripada mati? Kita benci kesakitan, tapi itulah lumrah
kehidupan. Sesungguhnya Allah pasti menguji kita dengan sesuatu yang kita tidak
sukai.
Tapi kenapa??????
Hal ini kerana Allah ingin menilai hati dan amalan kita.
Sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi
Allah melihat hati dan amalan kamu." (Riwayat Muslim no. 6708)
Bila diuji barulah kita ketahui tahap
kesabaran kita, barulah kita ketahui tahap keberanian kita dan tahap keimanan
kita kepada Allah.
Musibah menimpa semua manusia - tidak
kira sama ada yang baik atau yang jahat. Yang berbeza hanyalah bagaimana
manusia menghadapi musibah itu.
Benarlah seperti yang selalu
diungkapkan "...it's not what happens to you, but it's what you do about
it."
Dunia Islam kini acap kali ditimpa
musibah. Semua itu hakikatnya untuk mengingatkan umat Islam agar kembali kepada
Allah - beriman dan menegakkan hukum Allah dalam seluruh kehidupan kita.
Malangnya masih ada umat Islam yang keras kepala. Jadi, tidaklah hairan ALLAH
terus 'membersihkan' bumi-bumi Islam.
Terdapat 3 jenis Musibah
1. KAFARAH
Musibah yang berlaku ke atas orang yang baik tetapi ketika
itu dia terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian dan tidak mampu melawan
hawa nafsu.
Ringkasnya, kafarah ialah ujian untuk "orang baik
yang terbuat jahat". Dengan ujian itu, 'orang baik' tersebut akan mendapat
peringatan, keinsafan dan segera bertaubat kepada Sang Pencipta
2. BALA
Satu bentuk ujian yang dikenakan ke atas orang jahat yang melakukan
kejahatan.
Ringkasnya, bala itu ialah bentuk ujian ke atas "orang jahat yang melakukan kejahatan"
- Umat Nabi Nuh yang
ditenggelamkan banjir
- Namrud yang dibunuh
nyamuk
- Firaun yang ditenggelamkan
di Laut Merah
- Qarun yang ditelan bumi
3. IBTILA'
Musibah yang
dikenakan ke atas orang baik ketika dia melakukan kebaikan.
Ringkasnya, ibtila'
ini ialah ujian ke atas "orang baik yang berbuat baik". Ianya sebagai
tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat.
Akhir
coretan, bersabarlah bagi setiap ujian yang datang. Sapalah ujian itu dengan
senyuman meskipun ia sukar dan pahit.
Reframing:
Kita inginkan buah oren yang manis,
tetapi jika kita mendapat buah oren yang masam, maka buatlah air oren dengan
menambahkan sedikit gula.
Sebahagian
ulama salaf berkata: "Andaikan tidak ada musibah di dunia, tentu kita
datang pada hari kiamat tanpa membawa pahala."
-Ruj: Ust. Pahrol Mohd Juoi_ Sebenarnya Soal Hati-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan